DAP Sengaja Selindung Hasrat Kit Siang Jadi Perdana Menteri

DAP dilihat sengaja berselindung dengan hasrat mereka untuk menjadikan Penasihat parti itu, Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, perkara itu bertambah jelas apabila pemimpinnya mula bersuara mengenai kewajaran Kit Siang menjadi Perdana Menteri.

“Kalau kita lihat kepada kerusi yang dipegang Pakatan Harapan hari ini, DAP merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat, cuma DAP tahu sensitiviti di negara ini, mereka cuba sorok di belakang, tidak mahu jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy yang bersuara mengenai kewajaran Kit Siang menjadi Perdana Menteri, jika Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan kedua-dua pemimpin itu seolah-olah mencerminkan hasrat DAP yang sebenarnya mahukan Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri. – 14 Oktober 2017.