‘Jangan Hanya Merungut Di Facebook’

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menggesa orang ramai yang layak, namun belum berdaftar sebagai pemilih segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, pendedahan mengenai kira-kira 60,000 guru belum mendaftar sebagai pemilih tidak sepatutnya berlaku kerana mereka selama ini merupakan golongan yang menjadi ikutan masyarakat.

Kata beliau, keadaan itu mungkin berlaku disebabkan terlalu lama dalam zon ‘selesa’ melihat dari jauh dan hanya mengharapkan orang lain untuk keluar mengundi dalam pilihan raya.

“Ini pemikiran yang sangat salah dan kita perlu kembali kepada asas kebertanggungjawaban umat Islam kerana soal membentuk negara adalah fardu kifayah.

“Kita perlu ubah sikap mengharapkan orang lain mengundi dan dalam masa sama kita hanya bercakap dan merungut di media sosial seperti Facebook, tetapi tidak menunaikan tanggungjawab untuk mengundi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All bersama lebih 600 warga pendidik di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan hanya seramai 365,500 atau 86 peratus daripada 425,000 guru di seluruh negara telah berdaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – 14 Oktober 2017.