Pakatan Harapan Tidak Mampu Pertahan Islam

Pakatan Harapan tidak akan mampu untuk mempertahan atau menegakkan syiar Islam di negara ini kerana mereka jelas telah dikuasai oleh DAP yang menjadi parti paling dominan dan berkuasa dalam gabungan tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun DAP cuba menafikan hakikat tersebut namun tindak tanduk sekutunya dalam Pakatan Harapan yang tidak pernah bersuara dalam banyak perkara berkaitan kepentingan Islam sebelum ini jelas membuktikan DAP cukup berkuasa.

Katanya, hal demikian semakin jelas apabila parti dalam Pakatan Harapan tidak pernah memberi sokongan terhadap RUU355 selain mengambil sikap kunci mulut dalam isu pesta arak meskipun mendapat bantahan umat Islam.

“Selain itu, agenda Islam satu pun tidak dapat dilaksanakan di dalam Pakatan Harapan sama ada di Selangor atau Pulau Pinang kerana DAP menguasainya dan parti itu langsung tidak berminat untuk memartabatkan syiar Islam.

“Malah dalam Perlembagaan DAP juga jelas memperjuangkan sekular,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada Program Bicara Minda dan Sesi Dialog Perjuangan For All peringkat negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan digunakan UMNO dalam usaha mengembangkan syiar Islam di negara ini berbeza dengan parti-parti lain khususnya pembangkang yang disifatkan hanya pandai bermain kata-kata.

Katanya, perkara tersebut terbukti apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO telah melakukan pelbagai revolusi ke arah memartabatkan agama daripada masa ke semasa termasuk memberi penekanan terhadap sistem pendidikan Islam.

Malah katanya, kerajaan juga sentiasa memberi perhatian daripada segi peruntukkan yang sentiasa bertambah saban tahun untuk membantu perkembangan Islam.

“Kita lihat perkembangan Islam di negara ini sejak daripada zaman kemerdekaan sehingga hari ini bagaimana peningkatan demi peningkatan dapat disaksikan.

“Pendekatan Islam kita berbeza dengan parti-parti lain, kita bukan cakap sahaja tetapi laksanakan,” katanya. – 14 Oktober 2017.