1.3 Juta Sertai Hari Sukan Negara

Hari Sukan Negara (HSN) 2017 mendapat sambutan menggalakkan apabila dianggarkan 1.3 juta rakyat Malaysia menyertai pelbagai aktiviti sukan yang diadakan di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, beliau berbangga kerana penyertaan tahun ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun lepas yang mencatatkan penyertaan seramai 700,000.

Beliau berkata, angka berkenaan diperolehi daripada Sekretariat HSN adalah hasil daripada aktiviti sampingan yang dilakukan sendiri oleh rakyat di negara ini walaupun terdapat beberapa aktiviti lain yang dianjurkan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Belia dan Sukan di peringkat negeri.

“Ini yang kita nak iaitu (rakyat Malaysia) menghayati Hari Sukan Negara dengan bukan sahaja pergi ke aktiviti rasmi yang kita rancang tetapi buat aktiviti (sukan) yang mereka suka seperti menyertai perlawanan futsal di dan sebagainya,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Pada masa sama, Khairy turut gembira dengan sokongan padu diberikan atlet negara di negeri masing-masing, sambil menyifatkan kaedah turun padang oleh mereka mampu menarik minat lebih ramai rakyat untuk membudayakan aktiviti bersukan dalam kehidupan seharian.

Terdahulu, Khairy ditemui pemberita pada acara larian separuh marathon 21km Proton di Dataran Merdeka.

Sejumlah 10,000 peserta menyertai acara berkenaan yang merupakan kemuncak edisi ketiga HSN yang disambut secara tahunan pada minggu kedua setiap bulan Oktober. – Bernama, 15 Oktober 2017.