Artis Dikir Barat Megat Nordin Kritikal

Artis terkenal dikir barat negeri Kelantan, Megat Nordin kini berada dalam keadaan kritikal akibat penyakit bengkak hati.

Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusuf, 55, pernah menyertai pertandingan Kilauan Emas pada 2014 kini hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa Kedai Lalat.

Isterinya, Khoirulnisa Mad Dioh berkata, suaminya disahkan menghidap penyakit tersebut ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kota Bharu kelmarin.

“Tahap kesihatannya mulai merosot sejak bulan Ogos tahun lalu tetapi keadaannya semakin kritikal dalam seminggu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tambahnya, keadaan fizikal suaminya itu juga semakin berubah menyaksikan sosoknya kian kurus.

Terdahulu, keluarga artis tersebut menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Dalam kerjaya seninya itu, Megat Nordin pernah mengadakan persembahan dikir barat di hadapan masyarakat Landon sempena Minggu Malaysia 2007.

Antara lagunya yang menjadi siulan ialah Ambo Ghaso Berkene, Tinggalah Kasih, Hidup Usia Remaja, Hajat Tak Sampai, Begapo dan Tunggu-tunggu Tok Kelik.

Album-album Megat Nordin yang dihasilkan dalam bentuk kaset itu juga pernah terjual sehingga ratusan ribu unit.

Aktif berdikir barat sejak 1980, Megat Nordin membuat lonjakan terhadap kerjaya seninya dengan menyertai rancangan Kilauan Emas pada tahun 2014. – 15 Oktober 2017.