Isu Zamihan, Jakim Mohon Mengadap Sultan Johor

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memohon untuk mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu pegawainya, Zamihan Mat Zain yang didakwa menghina institusi diraja.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Katanya, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor bagi menjelaskan isu berhubung pegawainya itu.

“Jakim amat menyanjung tinggi atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim berkaitan dengan Jakim pada hari ini (semalam).

“Justeru, saya selaku ketua pengarah Jakim dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkaitan isu Zamihan Mat Zain pegawai kader Jakim di Penjara Kajang yang menyampaikan ceramah menyentuh tentang dobi mesra Muslim seperti yang ditularkan di media sosial,” katanya.

Semalam Sultan Johor mengeluarkan kenyataan melarang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) berurusan dengan Jakim ketika Majlis Konvokesyen ke-17 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Baginda berkata, Jakim tidak dialu-alukan untuk menasihati Johor dalam hal ehwal agama Islam kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Zamihan baru-baru ini dilaporkan mengkritik larangan Sultan Johor mengenai larangan dobi untuk orang Islam.

Kritikannya itu membuatkan baginda murka.

Zamihan adalah seorang pegawai di Jakim tetapi dipinjamkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk ditempatkan di Jabatan Penjara. – 15 Oktober 2017.