Kelantan ‘Tertinggal’ Kerana Rakyat Sibuk Bertelagah

Pertelagahan antara dua parti politik terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan PAS perlu dihentikan kerana tidak menguntungkan mana-mana pihak, selain membuang masa dan merugikan rakyat negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pertelagahan sesama sendiri dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sejak sekian lama menyebabkan Kelantan ketinggalan dalam pelbagai aspek terutama pembangunan berbanding negeri lain.

“Banyak yang kita buat di negeri ini tidak menjadi gara-gara kita semua bertelingkah. Dari dulu sampai sekarang, Kelantan menjadi negeri yang paling kuat bertelingkah, tidak habis-habis mengata sesama sendiri.

“Oleh sebab itu, saya mahu seru semua pihak, mari kita berhenti berbalah, dan pakat-pakat majukan Kelantan bersama,” katanya dalam Bicara Minda dan Dialog ‘Perjuangan For All’ di Politeknik Kota Bharu.

Turut bertindak sebagai ahli panel dalam program itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh dalam pada itu berkata, umat Islam dan orang Melayu di negeri ini tidak sepatutnya berasa bimbang jika UMNO dan PAS berkerjasama kerana perkara itu bakal menguntungkan semua pihak pada masa depan.

“Kita tengok ada juga orang runsing tengok UMNO dan Pas berbaik sampai berdoa janganlah berbaik. Adakah dia mahu umat Islam dan orang Melayu berbalah dan bertelagah sampai bila-bila?

“Nak runsing kenapa? Kita orang Islam tidak perlu runsing. Yang patut berasa runsing sekarang cuma DAP kerana dia memang tidak mahu Islam dan Melayu bersatu. Insya Allah, Islam akan kuat jika kita bersatu,” katanya. – 15 Oktober 2017.