Orang Islam, Melayu Tak Perlu Bimbang UMNO-PAS Bekerjasama

Orang Melayu dan Islam tidak perlu bimbang sekiranya UMNO dan PAS bekerjasama.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama antara dua parti Islam dan Melayu terbesar negara itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, apa yang membimbangkan adalah kewujudan DAP, yang disifatkan sebagai parti yang membawa ideologi anti-Islam.

Anwar turut mendakwa, DAP adalah satu-satunya pihak yang risau terhadap kerjasama antara UMNO dan PAS kerana ia tidak mahu melihat umat Islam dan Melayu bersatu.

“Kita (umat Islam) tidak perlu runsing jika UMNO dengan PAS bersatu. Yang berasa runsing sekarang adalah DAP kerana dia memang tidak mahu Islam dan Melayu bersatu.

“UMNO dan PAS sama-sama Islam… buat apa kita mahu terus bergaduh dan bertelingkah. Sebagai contoh di Kelantan, negeri ini jadi ketinggalan disebabkan kita tak habis-habis bertelagah,” katanya pada program Bicara Minda dan Dialog ‘Perjuangan For All’ di Politeknik Kota Bharu, Ketereh, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Sementara itu, Mustapa berkata, program dialog itu mampu memperkasakan sesi penerangan di pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia dapat disampaikan secara langsung menerusi media sosial seperti Facebook. – 15 Oktober 2017.