PSM Letak Calon Di DUN Kota Lama

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Royalti, Khairul Nizam Abd. Ghani sebagai calon mewakili parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan berkata, langkah pihaknya meletakkan calon di negeri itu adalah untuk memberi lebih pilihan kepada rakyat khususnya di DUN Kota Lama.

“Kali terakhir kita bertanding di Kelantan melalui Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) pada tahun 1986.

“Jadi kita rasa sudah tiba masanya untuk kami meletakkan calon dan melihat sejauh mana penerimaan rakyat, ” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Tambah Arutchelvan, dorongan untuk meletakkan calon di kawasan itu juga terdetik selepas mendapat maklum balas memberangsangkan khususnya dalam kalangan anak muda.

“Anak muda ini sudah bosan dengan politik BN (Barisan Nasional) dan PAS di negeri ini. Mereka bosan kerana melihat tidak banyak perbezaan antara kedua-dua parti itu ” katanya.

Sebelum ini Pakatan Harapan Kelantan bercadang meletakkan calon DAP di kawasan berkenaan.

Untuk rekod DUN Kota lama yang memiliki 28,248 pengundi itu dikuasai oleh Datuk Anuar Tan Abdullah dari PAS sejak tahun 1999. – 15 Oktober 2017.