Ahmad Fadhli Tidak Tahu Letakkan Syahwatnya Di mana?

PAS cuba mempertahankan kemampuannya meskipun banyak janj-janjinya gagal ditunaikan walaupun telah diberi mandat selama 27 tahun memerintah Kelantan.

Dalam satu kenyataan di bawah tajuk ‘UMNO SYAHWATNYA TIDAK HIDUP’ Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Fadhli Shaari mempertahankan kemampuan PAS Kelantan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Ahmad Fadhli berkata, Kelantan mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.8% pada tahun 2016 dan ia lebih tinggi daripada kadar nasional 4.2%.

Beliau membanding pertumbuhan itu dengan negeri Pahang hanya 2.0 peratus dan angka tersebut paling tercorot di negara ini.

Dalam kenyataan yang sama beliau turut membangkitkan isu lebuhraya sepanjang 73 kilometer dengan mengibaratkan UMNO kelantan tidak hidup syahwatnya.

Sama ada siapa yang ‘bersyahwat tinggi’ atau siapa yang ‘kematian pucuk’, unit komunikasi Tok Pa tampil menjawab kenyataan Fadhli itu.

Berikut adalah respon penuh unit tersebut yang dihantar kepada Sokmo.net.

RESPON KEPADA FADHLI SHAARI, KETUA PEMUDA PAS KELANTAN

1. Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Fadhli Shaari telah mengeluarkan kenyataan memperbetulkan kenyataan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed berhubung pembangunan ekonomi Kelantan.

2. Pertama, Ustaz Fadhli menimbulkan soal KDNK Kelantan berkembang pada kadar yang lebih pesat 4.8% berbanding peringkat nasional yang purata sekitar 4.2%. KDNK ini perlu dilihat dengan mengambilkira asas yang rendah (low base), peningkatan nominal yang sedikit pun akan menghasilkan kadar pertumbuhan dari segi peratus yang besar. Ini ekonomi, bukannya politik.

3. Kedua, sekiranya diamati dengan teliti, sumbangan KDNK Kelantan kepada KDNK nasional hanyalah sekitar 1.9% sahaja. Apa yang lebih membimbangkan adalah KDNK per kapita (purata pendapatan) rakyat Kelantan sekadar RM12,812 sebenarnya tidak sampai 1/3 KDNK per kapita rakyat Malaysia yang berjumlah RM38,887. Ini malangnya membuktikan ekonomi Kelantan masih lagi terkebelakang.

4. Adakah fakta ini sengaja disembunyikan Ustaz Fadhli atau beliau sememangnya tidak mengetahuinya?

5. Ketiga, meskipun sumbangan Kelantan terhadap KDNK Nasional agak kecil, namun Kelantan terus menjadi antara penerima peruntukan terbesar dalam Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM12.9 bilion. Tatkala Kerajaan Negeri PAS sekadar mampu meletakkan batu asas dan terus menuduh Kelantan dianaktirikan, Kerajaan Pusat komited membantu melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kelantan.

6. Keempat, beliau mempersoalkan samada Kerajaan Pusat tidak malu apabila Kerajaan Negeri turut sama menjayakan projek pembinaan lebuhraya. Lebih elok kalau beliau bertanya kepada Kerajaan PAS Kelantan apakah mereka tidak malu apabila masalah bekalan air bersih membelenggu 1.6 juta penduduk negeri berlarutan berpuluh tahun gagal ditangani sehingga Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan dan memperuntukkan RM2 bilion untuk menyelesaikan kemelut ini?

7. Seterusnya, apakah Ustaz Fadhli tidak tahu Kerajaan Pusat berterusan menjalankan amanahnya dengan menyalurkan hampir RM60 juta pada tahun lalu untuk menampung kekurangan akaun mengurus kerana Kerajaan PAS Kelantan tidak mampu menyelesaikan komitmen kewangan mereka termasuklah dalam aspek pembayaran gaji Menteri Besar, Ahli Exco, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri.

8. Ustaz juga mungkin lupa, Kerajaan PAS Kelantan dengan bangga mengumumkan akan melaksanakan projek perdagangan karbon, tetapi sepi membisu bila sedar syarikat yang terlibat itu langsung tidak pernah mengendalikan projek sedemikian rupa?

9. Menabur janji dan mengotakan janji itu dua perkara yang Ustaz Fadhli perlu bezakan. Sepanjang 27 memerintah Kelantan, PAS seringkali menggunapakai slogan ‘Membangun bersama Islam’. Tetapi hasilnya, rakyat Kelantan sendiri dapat menilai. Agama dijadikan sandaran, janji gagal ditunaikan. Itulah PAS.

‘Syahwat tinggi’ dan ‘mati pucuk’ adalah dua bidalan berbeza. Namun perlu diingatkan, dunia selalunya tertipu dengan mereka yang ‘mati pucuk’ kerana gendangnya lebih besar dari ‘syahwat tinggi’.

Justeru, kita perlu rasional antara fakta dan auta. Jangan suatu hari kita sendiri tidak tahu untuk meletakkan syahwat di mana.