Jangan Salahkan Anak Muda Tidak Sertai Perhimpunan Haram

Pakatan Harapan yang diketuai DAP perlu menerima hakikat kegagalan perhimpunan haram di Petaling Jaya kelmarin, bukannya menyalahkan golongan muda yang tak menyertainya.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu kononnya anak muda lebih gemar menyertai demonstrasi jalanan berbanding mendengar ceramah disifatkan cukup mengarut dan cubaan menyembunyikan kegagalan.

Hakikatnya, sekalipun kesemua parti dalam Pakatan Harapan bergabung untuk mengadakan himpunan itu namun masih gagal untuk menyaingi himpunan Fastaqim yang dianjurkan oleh PAS baru-baru ini.

“Ini menandakan rakyat semakin tidak mempercayai Pakatan Harapan. Bagi PAS, kami tetap menolak kedua-dua pihak ini iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Tolak Kleptrokasi, kuburkan Pakatan Harapan,” katanya.

Himpunan yang diadakan bermula ‪pukul 4‬ petang hingga lewat malam itu menyasarkan kehadiran 100,000 peserta bagaimanapun hambar apabila hanya kira-kira 5,000 peserta yang hadir.

Ekoran kegagalan itu, Mohamad Sabu sejurus selepas tamatnya himpunan tersebut menyatakan hasrat untuk menganjurkan satu demonstrasi jalanan iaitu Hari Marah Rakyat, menjelang pilihan raya umum. – 16 Oktober 2017.