Tolak Pemimpin Batil Dalam PRU-14

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyeru seluruh umat Islam di Kelantan menolak calon pemimpin yang batil dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pemimpin seperti itu hanya menggunakan parti untuk kepentingan peribadi sehingga sanggup mengabaikan rakyat sebagaimana yang berlaku di kawasan Parlimen Pasir Mas.

Justeru katanya, pengundi perlu bijak memilih pemimpin yang benar-benar layak dan sentiasa memberi keutamaan serta menjaga kebajikan rakyat.

“Jika kita silap memilih pemimpin yang pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab, maka kesan penderitaanya akan diterima oleh rakyat sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Khas Tahunan Perkasa Parlimen Pasir Mas.

Sementara itu, Ibrahim turut mengajak rakyat supaya bersama berkongsi inspirasi dengan Perkasa yang ingin melihat kebajikan rakyat sentiasa terjaga selain daripada aspek pembangunan di negeri itu.

Katanya, Perkasa bakal meletakkan penanda aras kepada mana-mana calon atau parti yang terbaik sebagai pilihan rakyat dalam pilihan raya nanti.

“Kita akan menentukan pendirian berhubung soal siapa calon yang rakyat perlu pilih nanti. Apa yang penting, kita tidak mahu rakyat memilih mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – 16 Oktober 2017.