Tian Chua Bebas 27 Oktober Ini

Tian Chua akan dibebaskan pada 27 Oktober ini selepas selesai menjalani hukuman penjara selama sebulan di Penjara Kajang.

Peguamnya, N. Surendran berkata Ahli Parlimen Batu itu juga akan menghadiri sesi persidangan Parlimen yang dijadualkan bermula pada minggu depan.

“Beliau akan dibebaskan pada 27 Oktober dan sudah tentu akan menghadiri persidangan Parlimen,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan polis agar meninggalkan kawasan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak pada 2.30 petang, 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.

Media sebelum ini melaporkan Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR menarik balik rayuan terakhirnya berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya. – Bernama, 17 Oktober 2017.