Zamihan Mohon Maaf Kepada Sultan Selangor

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zain akur dengan pelucutan tauliah mengajar di Selangor dan memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Selangor semalam mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah Zamihan mengajar di negeri itu berikutan ceramah agama yang disampaikannya dikatakan mengandungi perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Saya sedia maklum akan keputusan pelucutan tauliah mengajar agama saya di Selangor seperti mana titah Tuanku Sultan. Sebagai rakyat biasa yang menjungjung tinggi institusi diraja, saya akur dan patuh kepada keputusan dan titah Tuanku Sultan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghentikan sikap mengadu domba dan melaga-lagakan umat Islam dan sebaliknya menumpukan kepada membanteras ancaman dari pihak yang dikatakan cuba “merosakkan” Islam dari dalam seperti golongan tertentu.

“Saya hanya mencurahkan khidmat untuk agama dan ummah, sekiranya khidmat saya dirasakan sudah tidak diperlukan, saya menghormati keputusan tersebut. Bagaimanapun, saya akan terus berkhidmat dengan cara dan di tempat yang sesuai. Sesungguhnya perjuangan dakwah Islam tidak pernah terhenti sehingga hari kiamat.

“Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya menghentikan adu domba dan sikap ingin melaka-lagakan sesama umat Islam dan ada baiknya kita semua fokus kepada menolak ancaman dan tipu daya golongan yang cuba merosakkan Islam dari dalam seperti Wahhabi, Syiah, liberalisma agama dan lain-lain ajaran sesat,” katanya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, arahan itu dikeluarkan mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Selangor) 2008.

Pada 13 Oktober, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan larangan sementara terhadap Zamihan daripada berceramah di semua masjid dan surau di negeri itu.

Beliau disiasat mengikut Akta Hasutan dan ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu. – 17 Oktober 2017.