Kerajaan Peruntuk RM17 Juta Selesai Masalah Hakisan

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM17 juta bagi menjalankan projek menangani hakisan di Pantai Kundur dan Pantai Mek Mas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek berkenaan yang mengambil masa sehingga 18 bulan itu dijangka siap pada tahun 2019.

Katanya, projek hakisan pantai sejauh tiga kilometer itu di lakukan sebagaimana di Pantai Cahaya Bulan (PCB) dua tahun lalu.

“Menerusi projek berkenaan, penduduk di sekitar kampung berkenaan mampu menarik nafas lega kerana ia mampu menyelesaikan kebimbangan penduduk yang dialami sejak sekian lama.

“Kita melihat projek hakisan pantai yang dilakukan di PCB membabitkan kos RM20 juta cukup berkesan sebelum dilakukan di Pantai Mek Mas dan Pulau Kundur yang saban tahun dilaporkan berlaku masalah hakisan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan hakisan pantai di beberapa lokasi termasuk Pantai Cahaya Bulan (PCB), Pantai Mek Mas dan Kampung Warisan.

Tambah Wan Junaidi, tender projek berkenaan akan dibuka bulan hadapan sebelum kerja-kerja dilakukan awal tahun hadapan. – 18 Oktober 2017.