Tun M Semakin Terdesak

Ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keturunan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam himpunan haram anjuran Pakatan Harapan baru-baru ini menandakan beliau semakin terdesak.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, ia sekali gus memanifestasikan bahawa pengetahuan bekas Perdana Menteri itu cukup rendah.

“Sebagai negarawan dan pemikir bangsa kenapa dia (Tun M) perlu membenci dan menghina Najib sampai ke tahap itu?

“Tindakannya yang membangkit soal keturunan menunjukkan dia sudah terdesak dan ‘no class’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lafaz & Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hari ini.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof.

Lafaz IBR yang diketuai oleh Pengurus Besar Kada, Mohd. Ridzuan Ismail itu turut disertai oleh 150 kakitangan pengurusan KADA.

Dalam pada itu, Md. Alwi berkata, tindakan Tun M yang membangkitkan soal keturunan boleh memberi kesan kepadanya.

“Bila Tun M membangkit soal keturunan, orang boleh mempersoalkan keturunan dia pula, malah keturunan orang lain termasuk sahabatnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Kalau mahu membangkit soal keturunan ia tidak akan habis. Namun kita tidak sampai ke tahap itu,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan semasa perhimpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur berkata, Najib mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis. – 19 Oktober 2017.