Fokus Golongan Peniaga, Penjaja

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia yang mempunyai lebih 2.5 juta ahli berharap kerajaan memberi fokus kepada golongan peniaga dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan Jumaat depan.

Timbalan Presidennya, Hussein Mohamad berkata, fokus tersebut termasuk menambah peruntukkan kepada persatuan peniaga.

Dalam masa sama katanya, beliau juga berharap kerajaan dapat melonggarkan syarat pinjaman kepada mana-mana peniaga khususnya golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.

“Saya harap Perdana Menteri pertimbangkan supaya peruntukan ditambah bagi memudahkan golongan peniaga khususnya penjaja kecil mendapat modal untuk memulakan perniagaan.

“Dengan adanya peruntukan ini, sedikit sebanyak dapat menampung peniaga kecil ini dan lebih lagi penglibatan peniaga muda yang sememangnya memerlukan sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Muda peringkat negeri Kelantan di Bangunan Perhubungan UMNO negeri semalam.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahaya Mamat. – 20 Oktober 2017.