PAS Gesa Bahas RUU 355 Dalam Sesi Dewan Rakyat Kali Ini

PAS menggesa perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) dapat dibenar dan diteruskan pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat yang bermula 23 Oktober sehingga 30 November depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, adalah tidak wajar rang undang-undangan yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April lalu itu dihentikan walaupun dengan memberi apa jua alasan sekalipun.

“Perbahasan harus diteruskan sehinga akhir mengikut prosedurnya walaupun tidak boleh disempurnakan pada sesi kali ini. Ini (RUU355) seumpama kes mahkamah yang telah bermula perbicaraan, tidak akan dihentikan sehingga berakhir dengan keputusan hakim.

“Apa yang beza, di peringkat Parlimen ditentukan melalui pengundian Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sesi Dewan Rakyat April lalu bertindak menangguhkan sesi perbahasan RUU 355 ke sidang akan datang iaitu pada Julai.

Bagaimanapun pada sesi Julai sehingga Ogos lalu, perbahasan tersebut masih tidak dapat diteruskan kerana memberi ruang kepada usul-usul kerajaan yang perlu didahulukan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, langkah meminda Akta 355 amat penting kerana ianya berkaitan dengan usaha untuk memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terpakai hanya untuk orang Islam. – 20 Oktober 2017.