Bajet 2018: Peniaga, Penjaja Muda Perlukan Sokongan Kerajaan

Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat depan diharap dapat memberi perkhabaran gembira kepada golongan peniaga dan penjaja kecil di negara ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Muda Melayu Kelantan, Nik Mahmud Nik Wan berkata, kumpulan peniaga khususnya daripada golongan muda sememangnya memerlukan sokongan kerajaan untuk meningkatkan taraf pendapatan dan ekonomi mereka.

Katanya, jika dilihat peratusan golongan belia yang menceburi bidang perniagaan khususnya di Kelantan adalah lebih 60 peratus dan kebanyakkan mereka ini mempunyai kreativiti tersendiri dalam menghasilkan produk.

“Sebagai peniaga kami tentunya mengharapkan khabar gembira dalam pembentangan Bajet 2018 tidak lama lagi. Diharapkan khabar gembira itu lebih kepada inisiatif bantuan pinjaman, latihan dan kemahiran kepada golongan peniaga muda ini.

“Selain itu, kami juga mengharapkan peruntukkan khas terutamanya untuk usahawan muda bumiputera sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman oleh agensi- agensi kewangan kerajaan,” katanya. – 21 Oktober 2017.