Beri Ruang Dan Sokongan Kepada TMJ Lakukan Perubahan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyeru seluruh penyokong supaya memberikan kepercayaan kepada barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diketuai Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, semua pihak sepatutnya lebih positif dan memberikan sokongan kepada badan induk itu melakukan perubahan dalam mengembalikan kecemerlangan bola sepak negara.

Katanya, kepimpinan baharu FAM di bawah Tunku Ismail telah terbukti berada di landasan yang betul apabila dalam tempoh yang singkat beberapa kejayaan telah dicipta pasukan kebangsaan khususnya melibatkan skuad bawah 23 dan 19 tahun negara.

“Saya yakin kepimpinan yang ada dalam FAM akan membantu skuad kebangsaan kembali menjadi kuasa bola sepak di peringkat tertinggi.

“Apa yang penting, kita perlu terus memberikan sokongan kepada usaha yang sedang giat dilaksanakan kepimpinan FAM,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, FAM mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak susulan kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Asia 10 Oktober lalu selain kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya ke-170 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antabangsa (FIFA). – 21 Oktober 2017.