Konsert Amal Dikir Barat Bantu Megat Nordin

Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (Pakkak) menganjurkan konsert amal Dikir Barat Untuk Mu Megat Nordin bagi membantu pendikir terkenal itu yang kini dilaporkan terlantar akibat kanser hati tahap empat.

Konsert tersebut diadakan di Tapak Uptown Pasir Tumboh, Kota Bharu malam tadi dan ia dihadiri kira-kira 2,000 peminat seni itu.

Presiden Pakkak, Mohamad Aswady Adenan berkata, kesemua kutipan derma akan disalurkan terus kepada keluarga Megat Nordin.

“Ini merupakan sebahagian daripada sokongan Pakkak kepada penggiat dikir barat itu,” katanya.

Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusuf, 55, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dalam kerjaya seninya itu, Megat Nordin pernah mengadakan persembahan dikir barat di hadapan masyarakat London sempena Minggu Malaysia 2007.

Antara lagunya yang menjadi siulan ialah Ambo Ghaso Berkene, Tinggalah Kasih, Hidup Usia Remaja, Hajat Tak Sampai, Begapo dan Tunggu-tunggu Tok Kelik.

Album-album Megat Nordin yang dihasilkan dalam bentuk kaset itu juga pernah terjual sehingga ratusan ribu unit.

Aktif berdikir barat sejak 1980, Megat Nordin membuat lonjakan terhadap kerjaya seninya dengan menyertai rancangan Kilauan Emas pada tahun 2014. – 21 Oktober 2017.