PAS Ajak Mereka Keluar Parti Kembali Bersama

Bekas penyokong dan ahli PAS yang keluar daripada parti itu sebelum ini diberi peluang kembali bersama parti itu terutama ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, biarlah atas dasar apa sekalipun sehingga ada ahli dan penyokong kita duduk ‘di luar’, mari kembalilah bersama PAS.

“Tindakan segelintir penyokong PAS yang berada ‘di luar’ itu adalah mungkin disebabkan oleh beberapa kekilafan, mahupun atas desakan atau dorongan pihak-pihak tertentu bukannya atas kepentingan peribadi,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk kembali dan mempertahankan PAS Kelantan sebagaimana yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun kerajaan PAS negeri, Che Abdullah berkata, pelbagai program akan diadakan sehingga tahun depan.

“Selain itu, program kuliah juga akan bermula malam Sabtu di 45 DUN seluruh Kelantan, termasuklah ceramah di Parlimen seluruh Kelantan juga diadakan,” katanya. – 21 Oktober 2017.