40 Pemandu GrabCar Serah Memorandum Kepada MAHB

Kira-kira 40 pemandu perkhidmatan GrabCar di Kelantan hari ini berhimpun secara aman bagi menyerahkan memorandum kepada pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Penyerahan memorendum berkenaan dibuat susulan kejadian salah seorang pemandu perkhidmatan GrabCar yang dicederakan ketika mengambil penumpang di LTSIP petang semalam.

Difahamkan dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa yang berusia awal 20an mengalami kecederaan di bahagian hidung setelah berlaku salah faham dengan beberapa orang pemandu teksi LTSIP.

Sementara itu, wakil pemandu perkhidmatan GrabCar, Azizi Ismail, 35, berkata, penyerahan memorandum itu bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Tujuan kita datang hari ini adalah berkaitan isu yang terjadi semalam di mana seorang pemandu GrabCar telah dipukul oleh beberapa orang pemandu teksi kerana mengambil penumpang dalam kawasan lapangan terbang.

“Malah sebelum ini juga kita telah menerima banyak aduan daripada pemandu GrabCar yang lain berhubung masalah yang sama,” katanya.

Tambahnya, laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian berkenaan. – 22 Oktober 2017.