PRU14: Henti Amalan “Status Quo”

Amalan “status quo” dijangka tidak akan diguna pakai dalam agihan parti komponen Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Difahamkan, itu antara amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pemukiman Jentera BN PRU14 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perdana Menteri mahukan parti komponen bertoleransi dalam soal kuota kerusi yang ditandingi dan memberi fokus kepada matlamat untuk memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum itu.

Ketika mengulas amanat Perdana Menteri itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, calon BN bertanding bukan untuk mewakili kaum tetapi semangan BN adalah mewakili semua kaum di Malaysia.

“BN harus menghentikan amalan ‘status quo’ yang telah diamalkan pada PRU lepas dan kini sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut membangkitkan sasaran kemenangan BN dengan majoriti dua pertiga pada PRU14.

Kemenangan dua pertiga sangat penting kepada BN dan itu merupakan sasaran ditetapkan kepada semua parti komponen BN.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden MyPPP M. Kayveas berkata, persediaan BN dalam menghadapi PRU14 lebih sistematik dan mantap malah MyPPP telah membuat persediaan lebih baik berbanding PRU lepas.

“Saya melihat BN kali ini lebih bersedia. Jentera PRU MyPPP kini membuat persediaan lebih tersusun dan terancang dengan bantuan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus). Penubuhan JR Plus banyak memberi kesan positif di peringkat akar umbi,” kata Kayveas.

JR Plus yang diwujudkan tahun ini berperanan sebagai perantara kerajaan dengan rakyat, dan ia menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri selain turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata, pelbagai persediaan PRU telah dibuat dengan lancar sejak pemukiman diadakan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik, Pahang beberapa bulan lepas.

“Persediaan untuk menghadapi PRU telah pun siap, cuma menunggu arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk menggerakkan jentera PRU semua parti komponen BN. Persediaan PRU14 ini berbeza berbanding dahulu,” katanya. – 21 Oktober 2017.