Tidak Dicalon, Keluar Parti Kata PAS Kepada Mahfuz

Selepas pimpinan Kedah membayangkan Datuk Mahfuz Omar kemungkinan tidak akan disenaraikan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PAS pusat tampil membuat pengesahan itu.

Dalam masa sama, PAS juga memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu supaya keluar daripada parti berikutan tindak tanduknya yang cenderung menyokong Pakatan Harapan diketuai DAP.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selain Mahfuz, mana-mana pemimpin lain yang secara terbuka menentang PAS turut tidak akan dicalonkan lagi dalam pilihan raya.

“Saya beritahu terus terang, Mahfuz tidak akan bertanding lagi. Mereka yang menentang PAS tidak akan dicalonkan lagi. Itu pendirian kita.

“Kita akan ganti dengan calon yang lebih baik menggantikannya (Mahfuz) di Pokok Sena,” katanya ketika ditemui selepas ceramah umum 27 tahun Membangun Bersama Islam di Kampung Jejawi, Padang Tembak Pengkalan Chepa malam tadi.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, Mahfuz dilihat akrab dengan Pakatan Harapan dan ekoran itu beliau tidak ada dalam senarai calon PAS untuk pilihan raya akan datang.

“Dia boleh cari platform lain. Jika dia sudah bersama Pakatan Harapan, dia tak akan jadi calon PAS,” katanya.

Sebelum ini, Mahfuz bersama tiga lagi pemimpin PAS iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, ADUN Kubang Rotan, Mohd. Nasir Mustapa dan ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman dilaporkan hadir dalam Konvensyen Nasional 2017 PAN di Alor Setar, Kedah.

Dalam masa sama, Mahfuz juga dilaporkan berkata bahawa mana-mana ahli PAS termasuk dirinya tidak perlu keluar daripada parti Islam itu bagi menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

PAS Kedah dijangka akan bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 Parlimen sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PAS dan Pakatan Harpan. – 22 Oktober 2017.