Tindakan Hina Bugis Tidak Wajar

PAS menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoal keturunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lanun Bugis dalam himpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP baru-baru ini sebagai tidak wajar.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sesiapa pun tidak boleh menghina atau mempersoal bangsa atau keturunan mana-mana individu.

“Sebab bangsa atau keturunan ini adalah ketentuan Allah dan ia tidak sepatutnya dihina. Sebagai contoh, orang Melayu tidak boleh hina Cina begitu juga sebaliknya.

“Bangsa atau keturunan seseorang itu adalah ditentukan oleh Allah bukan kita sendiri yang pilih,” katanya ketika ditemui selepas ceramah 27 tahun membangun bersama Islam di Kampung Jejawi Padang Tembak, Pengkalan Chepa malam tadi.

Dr. Mahathir semasa berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu lalu menyebut Najib mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Ekoran kenyataannya itu pelbagai pihak termasuk yang mewakili masyarakat etnik tersebut mendesak Dr. Mahathir supaya membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kata-katanya.

Terbaharu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kenyataan Dr. Mahathir yang menghina keturunan tersebut telah menyebabkan Perhimpunan Pemuda Bugis Makasar Indonesia (PPBMI) mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia jika Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak memohon maaf.

Malah, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla turut mengakui tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan Dr. Mahathir yang menyifatkan Bugis sebagai lanun. – 22 Oktober 2017.