BN, Pakatan Harapan Punya Peluang Di Kelantan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meramalkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan mempunyai harapan untuk mengambil alih pemerintahan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, sejarah kegemilangan PAS bakal runtuh akibat kegagalannya sendiri mengurus tadbir negeri dengan baik walaupun telah diberi mandat lebih suku abad.

“Sejak pemergian Tok guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) Kelantan sudah tidak ada aura dan orang pun dah mula bercakap sejak PAS memerintah selama lebih suku abad tak ada apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang dan beramah mesra dengan penduduk peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong di Kampung Hutan Chengal, Pasir Mas.

Tambahnya, kerajaan PAS Kelantan juga gagal menyediakan peluang pekerjaan menyebabkan ramai rakyatnya berhijrah keluar.

“Pendapatan kerajaan negeri juga tidak bertambah, asyik tebang balak saja. Pekerjaan kurang, rakyat Kelantan ramai berhijrah ke luar,” katanya. – 23 Oktober 2017.