Kosongkan Wisma Tok Guru

Selepas ‘menggempur’ Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor yang kini menjadi ibu pejabat PAN Kelantan malam tadi, hari ini PAS mengingatkan agar parti serpihannya itu mengosongkan bangunan tersebut selewat-lewatnya pada 16 November depan dengan apa cara sekalipun.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim berkata, PAS mendapati PAN cuba mengingkari notis tersebut apabila bercadang mengadakan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu pada bulan depan.

“Notis pengosongan telah dikeluarkan pada 15 Oktober lalu. PAN tidak ada alasan untuk tidak mematuhinya kerana jelas tanah dan bangunan tersebut adalah milik PAS.

“Jadi apabila kita meletakkan bendera di kawasan wisma itu ia adalah satu petanda bahawa dengan apa cara sekalipun pada 16 November depan, kita tidak mahu lagi melihat kelibat PAN,” katanya.

Malam tadi berlaku ketegangan membabitkan penyokong PAS dan PAN berhubung isu perebutan wisma tersebut sehingga terpaksa ditenangkan oleh anggota polis yang mengawal kawasan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baharu untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Selain menempatkan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, bangunan itu juga menjadi markas PAN Kelantan.

Isu tanah berkenaan sebelum ini ditimbulkan oleh ADUN Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang mendakwa bangunan dan tapak berkenaan milik kerajaan negeri.

Malah, Mohd. Nassuruddin juga mempertikaikan tindakan Husam kerana terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS.

Husam bagaimanapun berkata, beliau akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah. – 23 Oktober 2017.