Mayat Bayi Ditemukan Di Pusat Pembuangan Sampah

Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan oleh pemandu lori Majlis Daerah Machang (MDM) di pusat pembuangan sampah Kampung Bukit Tajol, Banggol Judah Machang hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada pemandu lori tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

“Bayi perempuan itu ditemukan dalam timbunan sampah tanpa sebarang pakaian dan masih bertali pusat.

“Kawasan pembuangan sampah ini jauh daripada jalan besar dan tiada penempatan penduduk serta dikelilingi hutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

Tambahnya, mayat bayi dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat. – 23 Oktober 2017.