PAS ‘Gempur’ Wisma Tok Guru

Isu Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor, Kota Bharu kian panas  apabila PAS ‘menggempur’ bangunan yang kini menjadi Pejabat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan sehingga berlaku ketegangan melibatkan kedua-kedua penyokong parti tersebut malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu bermula ketika Ketua Pemuda PAN negeri, Hazmi Hassan meminta izin daripada Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari untuk menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan yang berada di kawasan itu.

Pada masa itu, Ahmad Fadhli baru sahaja selesai memberikan ucapan dihadapan lebih 150 penyokongnya yang berkumpul di wisma tersebut untuk memasang bendera.

Bagaimanapun, salah seorang wakil PAN tidak mengizinkan permintaan tersebut sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan antara penyokong kedua-kedua pihak.

Ketegangan dan perang mulut antara penyokong kedua-dua parti itu berlaku kira-kira lima minit sebelum pihak polis bertindak menenangkan keadaan.

Terdahulu ketika berucap Ahmad Fadzli berkata, tindakan memasang bendera itu diadakan sebagai permulaan dan petanda awal bahawa tanah serta bangunan ini adalah hak milik PAS.

“PAS telah memberikan notis sebulan kepada pihak yang menduduki bangunan ini untuk mengosongkannya selewat-lewatnya pada 14 November depan.

“Walaupun sudah menjadi hak kita, tetapi bagi mengelakkan perkara berlanjutan kita mengambil keputusan untuk tidak mengakses bangunan ini.

“Kita sekadar meletakkan bendera di bahagian luar sahaja sebagai penghargaan kepada penyokong yang menyumbang untuk kita mencipta sejarah melihat bangunan ini kembali menjadi milik PAS,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baharu untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Selain menempatkan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, bangunan yang terletak di Jalan Pendek, Salor itu juga menjadi markas PAN Kelantan.

Isu tanah berkenaan sebelum ini ditimbulkan oleh PAS Kelantan menerusi ADUN Meranti, Datuk Mohd, Nassuruddin Daud yang mendakwa tapak berkenaan milik kerajaan negeri.

Mohd. Nassuruddin mempertikaikan tindakan Husam kerana terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan PAS.

Husam bagaimanapun berkata, beliau akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah apabila menerima notis rasmi.

Sehingga keputusan muktamad dibuat oleh mahkamah, Husam berkata PAN Kelantan akan terus menggunakan premis berkenaan seperti biasa. – 22 Oktober 2017.