PAN Tidak Akan Kosongkan Wisma Tok Guru

PAN tetap berkeras tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor meskipun PAS memberi peringatan supaya mereka keluar daripada bangunan tersebut selewat-lewatnya pada 16 November depan.

Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya tidak akan akur dengan peringatan PAS itu selagi tidak ada keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dijangka akan membawa kes itu ke mahkamah dan bangunan terbabit hanya akan dikosongkan atas arahan badan kehakiman tersebut.

“Kes ini menjadi semakin rumit kerana penama tanah berkenaan sudah menjual tanah terbabit. Namun, tanah berkenaan mempunyai banyak lot menyebabkan perkara ini semakin keliru.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan menunggu keputusan mahkamah sama ada memihak kepada kami atau PAS,” katanya hari ini.

Semalam, Pemuda PAS negeri memberi peringatan kepada PAN supaya mengosongkan Wisma Tok Guru selewat-lewatnya pada 16 November depan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Nazman Che Iberahim dilaporkan berkata, tindakan undang-undang bakal diambil termasuk mengusir PAN keluar daripada wisma itu jika mereka tidak mematuhi arahan.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baharu untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan yang menjadi pejabat Husam dan markas PAN Kelantan.

Isu tanah tersebut sebelum ini ditimbulkan oleh ADUN Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang mendakwa bangunan dan tapak berkenaan milik kerajaan negeri.

Malah, Mohd. Nassuruddin juga mempertikaikan tindakan Husam kerana terus menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sudah meninggalkan Pas.

Husam bagaimanapun dilaporkan berkata, beliau akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah. – 24 Oktober 2017.