Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh Buat Laporan SPRM

Seramai 500 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak pihak berkuasa tersebut menyiasat isu kos pembinaan Pasar Siti Hajar yang didakwa terlalu tinggi.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil (pembekal) Pasar Pasir Puteh, Kamarul Zaman Che Ngah mendakwa, kos pasar tersebut yang dianggarkan bernilai RM6.1 juta dilihat tidak setimpal dengan keadaan sebenar bangunan itu.

Beliau mendakwa, pihaknya menganggarkan kos sebenar pasar baharu itu hanya sekitar RM2 juta berikutan keadaannya yang serba tidak selesa selain kecil dan sempit.

“Kami peniaga mengesyaki terdapat unsur penyelewengan dalam pembinaan tersebut.

“Hari ini, saya bersama kira-kira 50 peniaga bagi mewakili keseluruhan peniaga lain tampil untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri dan pihak pemaju,” katanya selepas membuat laporan tersebut hari ini.

Tambah Kamaruzaman, pembinaan premis tersebut dilakukan sebagai penempatan baharu untuk mereka bagi menggantikan pasar lama yang bakal dimajukan dengan pembangunan lain.

“Kami tidak berpuas hati kerana struktur binaan pasar baharu itu dilihat mengabaikan aspek keselamatan, sempit dan hanya mempunyai satu laluan masuk.

“Keadaan itu jauh berbeza dengan pasar lama yang mempunyai 13 laluan masuk di tengah-tengah pekan Pasir Puteh,” katanya yang turut menegaskan tidak akan berpindah ke pasar baharu itu.

Katanya lagi, kesemua peniaga tersebut diberi tempoh seminggu bermula 15 Oktober sehingga Ahad lalu supaya berpindah dan selepas tempoh itu MDPP telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik serta air.

“Sebanyak 500 peniaga tidak akan berpindah ke pasar baru Siti Hajar sehingga Mahkamah Rayuan Putrajaya membuat keputusan berhubung isu tersebut pada 26 Oktober ini,” katanya. – 24 Oktober 2017.