Siti Nurhaliza Kini Datuk Seri

Penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pengurniaan darjah itu berlangsung di Balairong Seri Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang hari ini sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Ketika menzahirkan rasa syukurnya menerusi laman sosial instagram, Siti, 38, berkata “Alhamdullillah, patik menjunjung kasih di atas pengurniaan darjah kebesaran ini.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada saya. Ini bukan saja penghargaan kepada diri saya seorang tetapi mewakili insan seni yang lain kerana saya yakin, setiap masyarakat mempunyai sumbangan dan peranan tersendiri.

“Alhamdulillah, saya menerima gelaran ini pada usia 21 tahun saya di dalam bidang seni dan penghormatan ini adalah salah satu daripada pencapaian yang mempunyai sejarah tersendiri di dalam karier saya,” tulisnya. – 24 Oktober 2017.