Hormati Keputusan Calon PRU14

Parti komponen Barisan Nasional (BN) harus menghormati keputusan pucuk pimpinan dalam menentukan pembahagian kerusi dan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN akan memuktamadkan keputusan calon yang bertanding.

“Kerusi yang diperuntukkan kepada sesebuah parti adalah lebih baik jika parti lain tidak ganggu walaupun hasrat itu baik.

“Kita tahu setiap parti komponen diberikan peluang berdasarkan kriteria namun kita harus menghormati agar tiada parti yang terguris,” katanya.

Beliau diminta mengulas isu perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands antara Parti Progresif Penduduk (MyPPP) dan MIC dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Presiden MyPPP M. Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang kini disandang bekas presiden MIC G. Palanivel.

Semalam, dilaporkan bahawa Kavyeas ingin bertemu dengan Presiden MIC Dr. S. Subramaniam bagi berbincang mengenai isu calon di kerusi berkenaan. – 25 Oktober 2017.