PAS Tanding Semua Kerusi Di Kelantan, Tiada Perbincangan Dengan PKR

PAS Kelantan akan meletakkan calonnya di semua kerusi di Kelantan termasuk yang pernah menjadi milik PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS memutuskan untuk bertanding tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan PKR kerana kedua-dua parti tersebut sudah tidak bekerjasama.

“Kali ini kita tidak ada pembahagian kerusi kerana PAS tidak akan berbincang dengan PKR. Sebaliknya kita akan meletakkan calon di semua kerusi dan sedia berhadapan saingan tiga penjuru termasuk PAN dan DAP,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco.

Tambah Ahmad yang juga Timbalan Muryidul Am PAS, pihaknya tidak gentar berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk DAP yang dikatakan akan bertanding di Kelantan

“Sesiapa sahaja boleh bertanding di Kelantan dan kita akan berdepan dengan mereka. Senarai calon awal juga sudah dihantar kepada PAS Pusat dan keputusan akhir calon belum diperoleh,” katanya. – 25 Oktober 2017.