Tiada Pampasan Tragedi Kren Runtuh Di Masjidil Haram

Akhbar Saudi Gazette melaporkan tiada sebarang pampasan untuk mangsa tragedi kren runtuh di Masjidil Haram di Mekah pada 2015 kerana ia bukan atas kecuaian manusia.

Mahkamah di Arab Saudi turut memutuskan tiada ganti rugi kepada mereka yang cedera termasuk untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku ke atas Masjidil Haram.

Bagaimanapun, mengikut laporan akhbar yang sama, keputusan mahkamah itu tidak ada kena mengena dengan bayaran pampasan yang diumumkan oleh Raja Salman selepas tragedi tersebut.

Raja Salman mengarahkan semua mangsa dibayar pampasan 1 juta riyal Saudi bagi mangsa yang meninggal dunia dan ganti rugi 500,000 riyal Saudi bagi yang cedera.

Dalam pada itu, peguam negara Arab Saudi akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Lembaga Tabung Haji sedang berusaha mendapatkan kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

“(Lembaga Tabung Haji) akan memaklumkan kepada waris jemaah apabila menerima kenyataan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tragedi tersebut tujuh rakyat Malaysia terkorban setelah kren yang digunakan untuk projek naik taraf Masjidil Haram runtuh ketika ribut pasir dan hujan lebat.

Kren itu dilaporkan menghempap kawasan sai dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf, beberapa hari sebelum bermulanya tempoh ibadat haji.

Dalam prosiding kes berkenaan mahkamah turut membebaskan 13 kakitangan syarikat pembinaan, Kumpulan Binladin yang bertanggungjawab mengendalikan kren tersebut.

Dalam pembelaannya, Kumpulan Binladin mengatakan ia tidak dapat meramalkan kemungkinan ribut besar dan angin kencang yang menyebabkan kren itu tumbang.

Hakim mahkamah membuat keputusan itu selepas menyemak laporan teknikal termasuk laporan kaji cuaca.

Mahkamah juga mengambil maklum kren berkenaan telah beroperasi di tempat kejadian selama lebih dua tahun dan operasi itu diluluskan oleh pihak berkuasa.

Mahkamah juga berpendapat pihak pendakwa tidak mengemukakan bukti kukuh untuk mengatakan Kumpulan Binladin melanggar ketetapan keselamatan. – 25 Oktober 2017.