Wisma Tok Guru: PAS Ulangi Peringatan, Kali Ini Lebih Keras

PAS mengulangi peringatan kepada parti serpihannya, PAN supaya mengosongkan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor selewat-lewatnya pada 16 November depan.

Kali ini peringatannya itu agak lebih keras kerana sekiranya PAN gagal berbuat demikian mereka kemungkinan berdepan risiko dihalau keluar.

Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, PAN yang terkenal dengan parti Amanah sepatutnya lebih beramanah untuk mengembalikan hak orang lain.

Beliau berkata, pihaknya juga sedia berdepan PAN sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.

“Kita tidak gentar kerana perkara itu sudah jelas akan memihak kepada tuan tanah. Kita tunggu sehingga 16 November depan sebelum tindakan diambil.

“Sekiranya mereka membawa kes itu ke mahkamah, kita akan lawan namun kita yakin PAN akan mengosongkan bangunan terbabit sebelum notis berakhir,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco hari ini.

Semalam, Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilaporkan berkata, PAN tidak akan mengosongkan Wisma Tok Guru selagi tidak ada keputusan daripada mahkamah berhubung kes berkenaan.

Sebelum ini PAS menghantar notis meminta PAN mengosongkan bangunan berkenaan namun keadaan menjadi sukar apabila parti itu mendakwa mereka dibenarkan mendiami premis terbabit oleh Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim.

Difahamkan, tanah milik balu kepada Rosli itu sudah dijual kepada Setiausaha Kerja PAS dengan harga RM700,000.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa dikatakan akan mencabar arahan mengosongkan bangunan berkenaan dengan memfailkan kes itu ke mahkamah. – 25 Oktober 2017.