‘Fake Dentist’ Dan Revolusi Perindustrian Keempat

Baru-baru ini, negara kecoh dengan adanya ‘Fake Dentist’ atau doktor gigi tidak bertauliah yang menawarkan perkhidmatan sama dengan mereka yang bertauliah. Rata-rata ‘Fake Dentist’ ini terdiri daripada orang muda dan bukan ‘Tukang Gigi atau Pandai Gigi’ kampung zaman dahulu. Dari mana datangnya ‘Fake Dentist’ ini?

Dalam sebuah video terbitan World Economic Forum, diceritakan kisah seorang remaja berusia 18 tahun yang mendapat anugerah kerana berjaya menghasilkan teknik meningkatkan produktiviti tanaman jagung. Apa yang membingungkan ialah dari mana remaja ini mendapat ilmu tersebut sedangkan dia belum pun layak masuk ke universiti. Apabila ditemuramah, remaja ini mengakui ilmu itu dari menonton youtube sejak berusia 12 tahun dan membuat kajian secara dalam talian.

Begitu jugalah ceritanya dengan ‘Fake Dentist’ di Malaysia. Di Malaysia ‘Fake Dentist’ ini dihukum dan dicemuh kerana telah melanggar peraturan dan undang-undang. Masyarakat dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan mereka yang tidak bertauliah.

Persoalannya, mengapa masyarakat menggunakan perkhidmatan ‘Fake Dentist’ ini? Pertama kerana perkhidmatan itu murah dan kedua kerana kagum dengan kepakaran anak muda itu.

Mengapa perkhidmatan mereka murah dan boleh menjadi pakar pada usia mentah? Jawapannya ialah The Fourth Industrial Revolution (Revolusi Perindustrian Keempat) . Mengurus tadbir dan mengawal selia ‘Fake Dentist’ dan perkhidmatan Uber adalah cabaran baru yang akan mengubah sistem pentadbiran negara.

5 juta pekerjaan akan lenyap menjelang 2020

Di anggarkan warga kerja dunia akan berdepan dengan kehilangan 5 juta pekerjaan kesan kemajuan teknologi menjelang 2020.

Revolusi Perindustrian Keempat telah mengakibatkan perubahan persekitaran kerja dan kemahiran yang diperlukan untuk bidang kerja sedia ada.

Mengikut World Economic Forum, sesetengah jenis perkerjaan akan pupus terus manakala kebergantungan terhadap kemahiran di dalam kebanyakan bidang pekerjaan akan berubah. Gelombang keempat revolusi Perindustrian turut menghasilkan jenis-jenis pekerjaan baharu yang tidak pernah wujud sebelum ini – antaranya ialah wujudnya pekerjaan sebagai saintis maklumat atau data (Data Scientist).

Bagaimana kita menghadapinya?

Gangguan kemahiran (skills disruption) adalah cabaran utama bagi tenaga kerja sedia ada. Akibat kepesatan teknologi yang menghasilkan produktiviti lebih tinggi dengan cekap serta pantas, maka kebanyakkan pekerja perlu mempertingkatkan kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu untuk terus bekerja dalam bidang sedia ada.

Perubahan ini sudah berlaku dari zaman Revolusi Perindustrian Ketiga, contohnya bila mesin taip diganti dengan komputer mengakibatkan jurutaip terpaksa mempelajari komputer dan akhirnya jawatan jurutaip sudah pupus bila menaip di komputer menjadi kemahiran semua pekerja. Begitu juga dengan jawatan jurutol di Malaysia yang wujud dan pupus dalam tempoh dua tiga dekad sahaja.

Bagaimanapun, kepesatan perubahan teknologi yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat adalah pada kadar kepantasan yang tidak pernah dialami oleh kita. Gangguan kemahiran telah dilihat dalam sektor Perkhidmatan Kewangan dan Pelaburan. Jawatan seperti ‘cashier’ atau juruwang di kaunter bank sudah hampir-hampir pupus sama sekali. Tetapi ia tidak berakhir disitu kerana sektor ini akan melihat gangguan kemahiran berterusan.

Antara sektor lain yang turut kritikal ialah sektor Infrastruktur, ICT, Perkhidmatan Profesional, Kesihatan serta Media dan Hiburan.

Perkhidmatan Media telah lama diperkatakan akan menghadapi gangguan kemahiran. Contohnya bidang kewartawanan akhbar cetak diganti dengan kemahiran kewartawanan digital. Bagaimapun, ramai yang salah faham dan berpendapat bahawa yang berubah hanya medium sahaja. Contohnya kalau mereka menulis berita untuk akhbar cetak, selepas ini mereka hanya perlu berpindah menulis untuk portal berita online. Ini adalah antara kesilapan ketara. Perubahan medium juga disebabkan dan menyebabkan perubahan selera dan tabiat pembaca.

Apabila berlaku gangguan kemahiran, bererti keperluan kepakaran untuk bidang tugas tersebut sudah berubah. Ini kerana bidang tugas itu memerlukan kemahiran berlainan. Dahulukala tukang potong rumput hanya perlu sihat tubuh badan, sekarang ia dipanggil tukang mesin rumput dan dia memerlukan keupayaan menggunakan mesin. Di masa hadapan ada dua kemungkinan, satu tukang mesin rumput memerlukan kemahiran mengawal jentera dari jauh dengan menggunakan alat kawalan jauh atau pekerjaan itu pupus terus kerana kawasan-kawasan awam ditanam dengan rumput yang telah diubah suai secara genetik menyebabkan ia tidak perlu dipotong. Aha!

Ibu bapa perlu prihatin kepada perubahan. Anak-anak perlu didedahkan kepada kaedah-kaedah untuk mengadaptasikan diri dan keupayaan untuk menguasai kemahiran-kemahiran baharu. Kemahiran yang belum ada sewaktu pengajian mereka. Anak-anak juga perlu diasuh dari kecil untuk mengkaji dan menerokai pelbagai bentuk kemahiran. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu benar-benar memahami cabaran yang didepani dan perlu segera mencari penyelesaiannya.

Jika kita mengakui tidak dapat memahami atau menguasai revolusi perindustrian keempat ini, maka menjadi tanggungjawab kita menjelang pilihanraya kelak untuk mengundi mereka yang boleh diharapkan melakukannya untuk kita.

Seperti kata Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif World Economic Forum, ‘There has never been a time of greater promise, or one of greater potential peril.’