Peniaga Berkeras Tidak Akan Pindah

Peniaga pasar Pasir puteh berkeras tidak akan berpindah ke pasar baharu Pasar Siti Hajar meskipun mereka terus didesak supaya berbuat demikian.

Malah mereka menyifatkan desakan itu sebagai tidak berhati perut.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga pasar Pasir Puteh, Kamar Zaman Che Ngah berkata, peniaga terbabit enggan berpindah kerana reka bentuk pasar berkenaan tidak sesuai dengan keperluan mereka.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bahawa reka bentuk pasar baharu tidak sesuai dengan keperluan kami.

“Tetapi mereka langsung tidak pedulikan rungutan peniaga,” katanya.

Tambahnya, pihak berkenaan juga bersikap zalim apabila memotong bekalan air dan elektrik berikutan keengganan peniaga berpindah ke pasar baharu itu.

“Bekalan air dan elektrik dipotong pada sebelah malam dan ada maklumat mengatakan pagar juga akan dikunci dan jalan-jalan masuk akan ditimbun pasir,” katanya.

Tegasnya lagi, para peniaga sepakat tidak akan berpindah kerana tempat baharu itu sama sekali tidak boleh dijadikan ruang niaga yang sepatutnya.

Beliau berjanji, akan tetap bersama para peniaga memperjuangkan nasib mereka walau apapun terjadi.

“Ini tempat kita, tempat asal usul kita mencari kehidupan dan kita akan berkubu di sini walau apapun terjadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan PAS Kelantan memberi perhatian sewajarnya terhadap keluhan serta rintihan peniaga demi kelangsungan hidup mereka.

“Jangan hanya indah pada nama kerajaan Islam sahaja tetapi soal kepentingan rakyat gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya. – 26 Oktober 2017.