SPRM Tahan Bekas Kakitangan Pejabat MB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas kakitangan pejabat Menteri Besar Selangor berhubung pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat berkenaan pada 2016.

Menurut sumber suruhanjaya itu, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengahari semalam di pejabatnya.

SPRM turut menahan seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati berusia 59 tahun dan isterinya kira-kira pukul 3.30 petang pada hari yang sama.

Sumber tersebut berkata, suspek disyaki telah menerima wang rasuah sebanyak RM16,566 daripada syarikat berkenaan berhubung projek tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah dilapor mengesahkan penahanan itu dan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret. – 26 Oktober 2017.