20,000 Rumah Mesra Felda Akan Dibina

Sebanyak 20,000 unit Rumah Mesra Felda akan dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara dalam tempoh empat tahun bermula tahun depan.

Menurut Pengerusi SPNB Mesra Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, pihaknya akan membina sebanyak 5,000 unit pertama tahun depan sebagai permulaan.

“Rumah Mesra FELDA merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah.

“Kami komited melaksanakan amanah diberikan kerajaan bagi memastikan rakyat memperoleh kebaikan daripada program ini,” katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa melawat tapak kediaman seorang ibu tunggal, Asnah Mustafa, yang merupakan penerima projek Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) di Wakaf Che Yeh, hari ini.

Rumah asal milik Asnah, 50, musnah dalam kebakaran sekitar Julai lalu dan dia kini terpaksa menyewa bilik di sebuah inap desa berhampiran.

Ketika lawatan itu, Mohamed Hasnan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban Asnah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Beliau dalam pada itu memberitahu, sehingga 30 September lalu, SPNB Mesra menerima 89,405 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) dari seluruh negara dan 47,294 daripada permohonan tersebut telah diluluskan.

Katanya, sebanyak 39,395 unit telah siap dibina manakala 5,857 unit kini dalam proses pembinaan, selain 2,042 unit lagi pula dalam peringkat perjanjian dan dokumentasi.

“Sebanyak 12,535 permohonan dalam senarai menunggu dan kami akan proses dari semasa ke semasa permohonan tersebut. Sebenarnya permohonan pembinaan perumahan ini sentiasa meningkat setiap tahun,” katanya. – 27 Oktober 2017.