Megat Nordin Meninggal Dunia

Artis dikir barat Megat Nordin yang menghidap kanser hati tahap empat telah kembali ke rahmatullah di kediaman orang tuanya di Kampung Kenali, Kubang Kerian pagi ini.

Allahyarham Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusof, 55, disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi dipangkuan isterinya, Khoirunnisa Madiyoh, 48, serta ahli keluarga.

Menurut Khoirunnisa, arwah yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Kenali petang semalam atas permintaannya sendiri.

“Malam tadi arwah mengadu sakit-sakit. Pagi ini selepas memandikan arwah, saya lihat dia kepenatan dan tidak lama kemudian arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali selepas solat Jumaat.

Baru-baru ini akhbar melaporkan Megat Nordin yang juga peserta Kilauan Emas 2014 hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa Kedai Lalat, akibat penyakit yang dihidapinya. – 27 Oktober 2017.