Bajet 2018 Beri Manfaat Semua Peringkat

Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam disifatkan terbaik dalam sejarah negara ini kerana
memberi manfaat kepada semua peringkat secara menyeluruh.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) negeri, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abd. Ghani berkata, seluruh rakyat tidak ada yang terkecuali menerima faedah daripada bajet tersebut.

Katanya, lebih menarik, beberapa pengumuman baharu dalam bajet tersebut seperti pemansuhan tol di tiga negeri sekali gus bakal meringankan beban pengguna yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

“Malah langkah kerajaan mengumumkan bantuan khas yang disifatkan cukup tinggi kepada penjawat awam, pesara, pesawah, ketua kampung dan mereka yang berkaitan membuktikan kerajaan cukup prihatin selain tidak melupakan golongan pertengahan.

“Saya yakin, seluruh rakyat di negara ini sangat berpuas hati dengan bajet yang dibentangkan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Putra Malaysia Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin pula berkata, setiap tahun kerajaan tidak pernah gagal dalam usaha memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Katanya, perkara tersebut terbukti dalam bajet 2018 apabila kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk membantu meningkatkan ciri-ciri keselamatan di pusat-pusat tahfiz seluruh negara.

“Selain itu, kerajaan juga menambah peruntukkan untuk bayaran elaun bulanan untuk guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilai dan siak selain mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak RM1,000 kepada golongan tersebut.

“Terbukti kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan Islam di negara ini,” katanya. – 28 Oktober 2017.