Bajet 2018 Kikis Stigma Kerajaan Anaktirikan Kelantan

Tumpuan yang diberikan terhadap Kelantan dalam Bajet 2018 dan bajet-bajet terdahulu diharap dapat mengikis stigma rakyat Kelantan kononnya kerajaan zalim dan menganaktirikan mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak pernah di dalam sejarah, Kelantan diberikan perhatian dengan pelbagai kemudahan dan pembangunan dilaksanakan di negeri itu.

Katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, semua itu dapat dinikmati rakyat Kelantan ketika dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bajet tahun ini dilihat yang terbaik dan dalam konteks Kelantan kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang terus memberi perhatian terhadap negeri ini.

“Kelantan menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, kemudahan di kawasan luar bandar, naik taraf lapangan terbang, tebatan banjir dan pelbagai lagi.

“Bagi rakyat Kelantan, kita bersyukur kerana tidak pernah dalam sejarah negara negeri ini diberi perhatian tertinggi dalam mana-mana bajet. Jadi berhentilah kita mendengar dakyah- dakyah, fitnah Kelantan didera,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) peringkat negeri Kelantan di Jeli hari ini. – 28 Oktober 2017.