Bajet 2018: Seimbang, Futuristik Dan Pro-Globalisasi

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah bajet yang seimbang dan menyeluruh mengambil kira segenap aspek sekali gus memperkasakan masa depan negara.

Beliau berkata, bajet tersebut terus memperkasa Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan dan untuk pertama kalinya mereka menerima peruntukan besar berjumlah RM23.7 bilion dalam bentuk latihan, geran, pinjaman mudah serta jaminan.

“Inisiatif-inisiatif ini penting dalam memperkukuhkan lagi keupayaan syarikat PKS dalam menghadapi cabaran hari ini dan masa hadapan. Di samping itu, RM1 bilion yang disediakan oleh pelabur institusi utama dan insentif cukai bagi pelaburan dalam venture capital akan menyemarakkan aktiviti keusahawanan dan membantu pertumbuhan syarikat start-up serta memacu inovasi dalam ekonomi.

“Dengan sokongan dan peruntukan ini, saya berkeyakinan PKS akan berupaya untuk menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang 2020. Kerajaan komited dalam memastikan penglibatan PKS dalam sektor-sektor pertumbuhan ekonomi yang baharu termasuklah ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, lebih dari 1,500 PKS akan menyertai fasa pertama Digital Free Trade Zone (DFTZ) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri awal November ini dan ini merupakan satu inisiatif bagi menggalakkan pertumbuhan eksport serta peluang pekerjaan dalam kalangan PKS.

Komitmen Malaysia terhadap globalisasi juga diperkukuhkan menerusi Bajet ini. Inisiatif Principal Hub yang diperkenalkan pada Mei 2015 telah meluluskan 27 permohonan dari syarikat multinasional untuk membangunkan ibu pejabat serantau dan global mereka di Malaysia.

Dalam tahun pertama pelaksanaan Principal Hub, ia telah menghasilkan perbelanjaan perniagaan berjumlah lebih RM230 juta, bayaran bagi penggunaan khidmat syarikat tempatan bernilai RM19.4 juta dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Keputusan untuk melanjutkan pakej insentif Principal Hub dari 2017 sehingga Disember 2020 adalah langkah tepat bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau dan dunia.

Kata Mustapa, tumpuan Kerajaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah terarah kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Oleh sebab itu, RM200 juta yang diperuntukkan kepada High Impact Strategic Fund di bawah MIDA akan membantu menjayakan misi ini. Pelaburan sebegini akan memudahcara pemindahan teknologi dan mencipta peluang pekerjaan berkualiti yang akan mengubah landskap ekonomi Malaysia selari dengan hasrat negara untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata, agenda pengantarabangsaan syarikat Malaysia turut diperkasakan dengan peruntukan bernilai RM150 juta bagi MATRADE, MIDA dan SME Corp menjayakan promosi pelaburan dan eksport termasuklah menerusi Market Development Grant (MDG).

Katanya, pada tahun 2016, sebanyak 1,910 PKS menerima manfaat dari MDG dan peruntukan ini akan mengukuhkan usaha Kerajaan untuk menyerlahkan lagi jenama Malaysia di pasaran antarabangsa.

“Bagi tahun 2017, kita menjangkakan jumlah perdagangan meningkat 17.1 peratus kepada RM1.7 trilion manakala eksport pula berkembang 16.6 peratus kepada RM917.5 bilion,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, peruntukan di bawah EXIM Bank bernilai RM1 bilion bagi kredit insuran dan RM200 juta bagi pembiayaan eksport juga akan membantu meringankan beban kewangan dihadapi PKS untuk tujuan eksport.

Ini katanya, akan meningkatkan lagi jumlah eksport dalam kalangan PKS selari dengan sasaran peningkatan jumlah eksport mereka kepada KDNK sebanyak 23 peratus menjelang 2020.

Beliau berkata, bajet tersebut juga mengambil kira keperluan masa hadapan perubahan lanskap terutamanya dalam usaha Malaysia mendepani Industri 4.0.

“Dalam 10 tahun lepas, MIDF telah meluluskan sebanyak RM10.5 bilion pinjaman di bawah Soft Loan Scheme for Automation and Modernization (SLSAM) – satu jumlah yang masih kecil mengambilkira kepentingan automasi dalam suasana perniagaan hari ini, serta keperluan bukan sahaja untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, tetapi dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Oleh itu, peruntukan RM1 billion dalam bentuk 70% jaminan yang dijamin Kerajaan bagi syarikat yang memiliki rancangan untuk melaksanakan aktiviti inovasi akan membantu kita mencapai objektif ini,” jelasnya.

Beliau berkata, peruntukan RM245 juta geran sepadan di bawah Strategic Domestic Investment Fund akan membolehkan penambahbaikan kemudahan Smart Manufacturing yang merupakan antara dimensi penting bagi Industri 4.0.

Katanya, kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi menggalakkan serta memudahcara lebih banyak syarikat untuk melaksanakan inovasi serta menggunapakai elemen 4.0 dalam operasi perniagaan mereka.

“Secara keseluruhannya, Bajet 2018 meletakkan PKS dalam arus perdana pembangunan sosio-ekonomi. Sebanyak 98.5 peratus dari jumlah syarikat yang ada terdiri dari PKS, dan 76.5 peratus daripada PKS ini pula adalah syarikat mikro.

“Peruntukan bagi aktiviti promosi dan pembiayaan pula akan meningkatkan lagi pertumbuhan perdagangan dan pelaburan, yang pastinya akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 hingga 5.7 peratus. – 28 Oktober 2017.