Bantuan Khas Bukti Kerajaan Perihatin Masalah Petani

Bantuan Pesawah RM200 selama tiga bulan kepada petani menerusi Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan kerajaan sentiasa mengambil kira permasalahan rakyat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, bantuan khas berkenaan adalah yang pertama kali diberikan kepada petani sementara menunggu hasil tuaian padi.

Menurutnya, kira-kira 8,700 petani yang berdaftar di bawah KADA bakal menikmati bantuan khas berkenaan.

“Bajet kali ini memang dikatakan ibu segala bajet. Buat pertama kali, setiap petani yang berdaftar akan mendapat bantuan sama seperti nelayan. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar keluhan rakyat.

“Dengan pengumuman ini juga, diharap tiada lagi tanah padi yang akan terbiar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kayuhan Santai @Kok Lanas di Dataran Kada malam tadi.

Dalam pada itu, Md. Alwi merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk tujuan prasarana.

“Saya gembira dengan peruntukan tersebut, jadi ia boleh digunakan untuk membaki pulih prasarana saliran seperti tali air, parit dan sebagainya.

“Di samping itu, bantuan-bantuan lain juga diteruskan seperti subsidi padi, subsidi baja serta input-input pertanian lain. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menerima cadangan kami,” katanya. – 28 Oktober 2017.