Pendapatan Bulanan Purata Kelantan Meningkat

Pendapatan bulanan purata negeri Kelantan mencatatkan peningkatan daripada RM3,715 pada tahun 2014 kepada RM4,214 pada tahun 2016.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri, Zuraidy Zainal Abidin berkata, daripada jumlah tersebut, ia menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus.

“Manakala pendapatan bulanan penengah juga mencatatkan peningkatan daripada RM2,716 pada tahun 2014 kepada RM3,079 pada tahun lalu.

“Penyiasatan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah ini telah dijalankan selama setahun bermula Mei 2016 sehingga April lalu melibatkan 5,568 tempat kediaman di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Literasi Statistik sambutan Hari Statistik Negara 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1 di Kuala Krai baru-baru ini.

Zuraidy berkata, perspektif kemiskinan di negeri itu mencatatkan penurunan daripada 0.9 peratus pada tahun 2014 kepada 0.4 peratus pada tahun lalu.

“Dari segi pengagihan pendapatan, kali ini juga merekodkan penurunan sebanyak 0.4 peratus iaitu 0.393 pada tahun 2014 kepada 0.389 pada tahun 2016,” katanya. – 28 Oktober 2017.