Sembilan Maut Van Bertembung Lori

Sebanyak sembilan pekerja ladang maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori air batu dan sebuah van di Jalan Air Kuning-Mambang Diawan dekat Kampung Haji Dahlan di Tapah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliau berkata, kejadian kira-kira 6.50 pagi itu menyebabkan kesemua lapan penumpang van terdiri daripada wanita dan seorang lelaki pemandu van, 32, maut di tempat kejadian.

“Manakala pemandu lori yang berusia 22 tahun cedera parah.

“Lori ais itu dari Kampar menuju ke Air Kuning berlanggar bertembung dengan sebuah van yang membawa pekerja ladang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, kesemua penumpang dalam van maut,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala pemandu lori ais berkenaan menerima rawatan di Hospital Kampar. – 28 Oktober 2017.