Sohaimi Ditikam

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan cedera ditikam di bahagian kepala dan bahu oleh seorang lelaki yang dipercayai tidak siuman.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi itu berlaku di hadapan rumahnya di Taman Moccis, Sungai Buloh.

Isterinya, Datin Nurul Azni Roslan berkata, semasa kejadian, Sohaimi berada di kediamannya dan ingin keluar menuju ke Shah Alam.

“Mula-mula orang itu baling batu ke arahnya dan belum sempat dia bertanya mengapa orang tersebut bertindak begitu, dia terus ditikam,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana orang yang sama sebelum ini pernah menyerang Sohaimi dengan membaling batu dan menyimbah cat ke arah keretanya.

Sohaimi kini dirawat di sebuah hospital di Damansara dan keadaannya dilaporkan stabil. – 28 Oktober 2017.