Kelantan Perlu Rebut Peluang Bangun Sektor Pelancongan

Kerajaan memperuntukkan belanjawan yang cukup tinggi menerusi Bajet 2018 untuk pembangunan sektor pelancongan di negara ini.

Justeru, Kelantan tidak terkecuali untuk merebut peluang daripada peruntukkan itu bagi membangunkan sektor tersebut di negeri itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion untuk bantuan pinjaman mudah dan RM500 juta bagi membantu membangunkan infrastruktur serta penghasilan produk-produk pelancongan.

Katanya, belanjawan yang disifatkan cukup tinggi itu adalah bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia pada 2020.

“Kita harap Kelantan sebahagian daripada yang akan mendapat manfaat daripada peruntukkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Memperkasakan Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital negeri Kelantan di Jeli hari ini.

Beliau berkata, Kelantan sememangnya berpotensi besar dalam sektor pelancongan ini namun gagal dibangunkan dengan sempurna.

“Jadi kita perlu rebut peluang itu dan inilah masanya untuk kita bangunkan sektor pelancongan di negeri ini dengan lebih sempurna,” katanya. – 29 Oktober 2017.